Sunday, January 28, 2007

fakta menarik tentang sekolah-sekolah tertentu

BERIKUT BEBERPA FAKTA MENARIK TENTANG PENDIDIKAN DI HULU SELANGOR PADA 15 JANUARI 2007.

Sekolah menengah yang mempunyai murid paling ramai ialah SMK BUKIT SENTOSA, terdapat 2607 orang, bertambah seramai 546 berbanding tahun 2006. Pertambahan angka seramai ini menjadikan sekolah ini sebagai sekolah paling banyak muridnya bertambah.

Sekolah menengah paling sedikit murid ialah SMK GEDANGSA, hanya terdapat 340 orang, Makin berkurang berbanding 2006, terdapat 359 orang.

Sekolah kebangsaan paling ramai murid ialah SK TAMAN BUNGA RAYA (1), seramai 2774 orang, bertambah 204 orang daripada 2006. Pertambahan paling besar bagi sekolah kebangsaan berlaku di SK BUKIT SENTOSA, iaitu bertambah 324 orang mejadi jumlahnya 2669 orang.

Sekolah paling kecil di kalangan sekolah kebangsaan ialah SK HULU YAM LAMA, hanya terdapat 76 orang murid. Walau bagaimanapun rekod sekolah paling sedikit muridnya ialah SJK C BUKIT FRASER, hanya terdapat 9 orang murid sahaja.

Jumlah keseluruhan murid di daerah ini ialah 42,028 orang bertambah seramai 2,147 orang, pada tahun 2006 hanya terdapat 39,881 orang sahaja.

Dengan jumlah murid ini, terdapat seramai 2590 orang guru yang mendidik mereka di sekolah-sekolah. Jumlah paling ramai terdapat di SMK BUKIT SENTOSA, iaitu seramai 121 orang.

Catatan ini sebagai satu renungan untuk melihat daerah Hulu Selangor, sebagai daerah yang paling luas di selangor tetapi jumlah murid dan guru masih tidak ramai berbanding daerah seperti Petaling, Hulu Langat, Gombak, dan Kelang.

Disediakan oleh:
KUTV PPDHS
28.01.2007
09 Muharam 1428.

Wednesday, January 24, 2007

Ujian khas guru-guru ppsmi seluruh Malaysia

UJIAN PROFISIENSI 2007
TARIKH: 10 FEBRUARI 2007
HARI: SABTU
CALON-CALON: SEMUA GURU PPSMI

Saya mewakili Ketua Unit Bahasa PPDHS ingin mencatatkan pada ruangan ini tentang perkara penting akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pada tarikh tersebut semua guru PPSMI akan menduduki ujian. Nampaknya pada tahun ini peperiksaan awal dimulakan dengan ujian yang khas untuk guru-guru. Kalau boleh saya memberikan namanya, kerana melibatkan ujian Bahasa Inggeris, UJIAN PROFISIENSI BAHASA INGGERIS 2007 (UPBI).

Pada hari tersebut semua guru berkaitan akan menjawab 2 bahagian soalan:
a. Kertas 1 (1 jam). 09.00 hingga 10.00 pagi
b. Kertas 2 (1 1/2 jam) 10.30-12.00 th)

Apakah akan berlaku selepas ujian ini ?

Secara kasar telah diberikan gambaran bahawa guru-guru PPSMI yang gagal dalam ujian pada 10 Februari ini akan mengikuti kursus EMS, mungkin di IPG kendalian pihak BPG. EMS (English for Mathematics and Science). Mungkin bagi mereka yang mendaapat markah yang agak lemah (0-20 markah, mungkin).

Selepas kursus ini mereka mungkin dikehendaki menduduki peperiksaan MUET. Syarat ini mungkin dikenakan pada mereka yang mendapat markah bawah 50, mungkin. Syarat lulus MUET ialah band 3. Nampaknya seperti pelajar yang akan memasuki universiti.

Jika mereka masih gagal melepasi tahap ini, mereka dikehendaki mengikuti kursus lain:

a. Mungkin mereka perlu mengikuti kursus dengan pusat latihan swasta.

b. atau mungkin, kursus 14 minggu semasa cuti sekolah.

Proses ini akan melibatkan tempoh 3 bulan. Mereka akan menduduki MUET lagi. Jika gagal dalam MUET, mereka perlu mengikuti kursus secara berterusan.

Ini mungkin makluman awal. Walau bagaimanapun, mungkin ini salah satu cara untuk memastikan guru-guru boleh berbahasa Inggeris dengan sebaik mungkin.

Apa yang pasti, ujian ini akan dilaksanakan. Apa juga pandangan kita tentang ini, kita seharusnya positif dengan pelaksanaan ujian ini.

Saya ingin mengucapkan selamat menduduki ujian. Marilah sampaikan berita ini pada rakan-rakan lain. Setidak-tidaknya dapat juga bersedia. Kita pasti teruskan apa-apa sahaja yang dirancang untuk kebaikan dunia pendidikan anak-anak didik.

Sila rujuk Ketua Unit Bahasa dan Ketua Unit Sains Matematik PPD, untuk mendapatkan sebarang pertanyaan tentang hal ini. Pegawai penyelarasnya di peringkat daerah ialah Ketua Unit Bahasa.

Sekian.
Dicatatkan oleh
KUTV PPDHS
24.01.2007
05 Muharam 1428.

Sunday, January 21, 2007

PIPP 2006 - 2010

PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN (PIPP) 2006 - 2010

Pada masa sekarang kita sudah berada pada tahun 2007. Hampir sebulan sudah berlalunya tahun 2006. Agenda paling penting menjadi tumpuan dan fokus warga pendidik di Malaysia sekarang ialah PIPP. PIPP dirangka untuk jangka masa 5 tahun (2006-2010)

Selepas tahun 2010, kita cuma ada sepuluh tahun lagi untuk menjangkau 2020, iaitu tarikh keramat untuk mencapai wawasan nasional.

Jika kita teliti, rasanya pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa fasa sejak dahulu. Mungkin lima fasa seperti berikut:
  • Zaman pra merdeka (sebelum 1957)
  • Zaman pasca merdeka (selepas 1957 - 1970)
  • Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971 - 1990)
  • Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991 - 2000)
  • Zaman Wawasan Negara (2001 - 2010)

Zaman yang kelima, kita lalui sekarang. Kita sudah pasti terlibat sama menjana insan yang akan menjadi warga tahun 2020. Anak didik kita sudah berada di sekolah-sekolah, sudah pasti mereka akan sampai ke era 2020 itu.

Kita akan menjadi penggerak semua program yang dirancang. Sudah pasti semua program yang dirancang berhasrat melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.

PIPP yang diumumkan dinyatakan mempunyai 6 teras strategik. Jika diteliti seperti 6M iaitu:

  • Membina negara bangsa
  • Membangunkan modal insan
  • Memperkasakan sekolah kebangsaan
  • Merapatkan jurang pendidikan
  • Memertabatkan Profesion Perguruan
  • Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan

Inilah topik-topik yang akan menjadi perbincangan selepas ini. rasanya bukan setakat dibincangkan di mana-mana perjumpaan, tetapi KPM pasti akan memastikan keenam-enamnya terhasil secara baik.

Mungkin ada masa dan ruang kita akan bicarakan topik ini secara terpeinci untuk kita semua. Sekian. Terima kasih.

Disediakan oleh:

KUTV PPDHS: 21.01.2007 / 02 Muharam 1428.

Thursday, January 11, 2007

tonggak 12 pertama

TONGAK PERTAMA - MENGHARGAI MASA (the value of time)

Dalam Tongak 12, menghargai masa merupakan tonggak pertama. Saya bercadang untuk mencatatkan sedikit maklumat yang boleh menjadi renungan bersama sebagai anggota kerajaan apatah lagi sebagai pendidik.
Orang yang menghargai masa menganggap 'masa itu emas". Berlalunya masa tanpa sebarang perbuatan atau sumbangan yang berfaedah bererti kita melakukan sesuatu yang merugikan, kerana masa yang telah berlalu tidak akan kembali kepada kita. Pada masa sekarang, dengan adanya teknologi canggaih maka perhubungan menjadi semakin rapat dan banyak keputusan perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat. Jika kita melengahkan sebarang tindakan dan keputusan, maka hilanglah banyak peluang keemasa. Setiap manusia diberikan masa yang sama banyak. Terpulanglah kepada individu itu merancang masanya. "Those who make the worst use of their time most complain of its shortness" - La Bruyere. Oleh yang demikian gunakanlah masa itu dengan bijak untuk setiap perilaku kita, sama ada rasmi, tidak rasmi atau persendirian.
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-Quran, 103:1-3)
"And inch of time cannot be bought by an inch of gold" (Chinese Proverb)
Amalan positif yang dapat disentuh daripada tonggak ini ialah:
  • menepati masa
  • menyegerakan tugas
  • mempunyai perancangan waktu
  • bijak menguruskan tempoh masa yang diberi
  • menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif
  • menetapkan target date untuk menyiapkan kerja
  • menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan.

Marilah kita lihat contoh-contoh amalan positif ini.

  • Penggunaan masa secara maksimum memerlukan disiplin diri yang ketat. caranya ialah dengan menggunakan catatan penggunaan masa 9time log) setiap hari. Tabiat ini perlu dikekalkan dalam perkhidmatan kerajaan.
  • Te[at pada masa, adalah satu tabiat yang mesti dibiasakan. Tabiat ini wujud hasil daripada ketinggian maruah diri dan adanya rasa hormat kepada orang lain. Contohnya, jika lewat tiba pada sesuatu majlis, mesyuarat atau temu janji, bermakna kita tidak ada maruah dan tidak menghormatinya.
  • Seseorang pegawai atasan perlulah mengetahui secara menyeluruh matlamat kerja, bidang kerja dan jangka masa yang diambil untuk menjalankan tugas apabila beliau memberikan arahan kepada pegawai bawahannya. Beliau perlulah meminta supaya kerja-kerja tersebut disipkan dalam waktu yang manasabah dan mampu diselesaikan oleh pegawai yang diarahkan itu.
  • Seseorang pegawai yang menggunakan kemudahan kenderaan pejabat untuk urusan rasmi perlu memberitahu pemendu jangka masa urusan tersebut supaya supaya dapat diputuskan sama ada pegawai itu perlu ditunggu atau tidak. Sekiranya tidak, pemandu itu hendaklah pulang ke pejabat untuk membuat tugas lain dan kembali semula pada masa yang ditetapkan. Tindakan ini dapat menjimatkan masa pemandu tersebut.
  • Menggalkkan penggunaan time planner, aitu jadual perancangan masa kerja.
  • Para pegawai dan kakitangan pejabat digalak merancang hal-hal peribadi mereka. Sekiranya mereka hendak keluar untuk urusan peribadi yang penting serta tidak menggunkan masa yang terlalu lama, kebenaran hendaklah dipinta terlebih dahulu.
  • Seseorang pegawai hendaklah tidak melengah kerja yang diarahkan. sekiranya kerja-kerja tersebut dapat disiapkan dalam masa sejam, beliau tidak seharusnya mengambil masa sehingga dua hari.
  • Produktiviti dan kualiti boleh dikawal dengan penggunaan masa yang terencana. Sesuatu yang boleh diselesaikan dalam dua hari tidak akan menjadi produktif jika mengambil masa seminggu. bagaimana ini dapat dikenal pasti bergantung kepada kemahiran dan pengetahuan kerja. orang yang mahir sudah tentu dapat menjimatkan masa.
  • Seseorang pegawai hendaklah sentiasa peka kepada kehendak masa,kerana itu hendaklah menyiapkan kerja kerja selaras dengan keperluan semasa.

Tonggak ini juga mempunyai amalan negatif dan dilarang kita melakukannya.

  • berbual-bual kosong
  • tidak menyegerakan tuga
  • tidak ada sense of urgency
  • tidak merancang pekerjaan
  • tidak ada prioriti
  • melayan tetamu yang tidak berkenaan
  • tinggalkan pejabat untuk urusan peribadi
  • membuat kerja peribadi di pejabat
  • berniaga di waktu pejabat
  • membuat kerja yang tidak mustahak
  • ke kantin dalam waktu bertugas
  • tidak peka kepada pembaziran masa

Cotoh-contoh yang dapat kita lihat daripada amalan negatif ini ialah:

  • Pengerusi mesyuarat yang tidak merancang masanya dengan cermat dan tepat akan memanjangkan mesyuarat sehingga meleret-leret. Sesuatu mesyuarat yang sepatutnya selesai dalam masa dua jam tetapi mengambil masa hingga lima jam, dan ini membuang masa.
  • Jika prioriti tidak dikenal pasti semua perkara akan dianggap sama pentingnya. ini merugikan masa, tenaga, wang dan lain-lain. Oleh itu perkara-perkara penting mesti didahulukan. Kriteria prioriti mesti ditentukan berdasarkan objektif organisasi dan bukannya berdasarkan keperluan atau kemahuan individu.
  • Pembaziran masa boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Misalnya, pembaziran masa kerena leka berbual dan membuat kerja yang berulang-ulang kali.
  • tabiat berbual-bual terlalu lama sewaktu melayan tetamu adalah membuang masa. tetamu juga hendaklah sedar bahawa perbuatan mereka akan membuang masa orang lain. demikian juga perbuatan berbual-bual panjang di telefon tentang hal peribadi dan mengambiln kesempatan semasa percakapan telefon secara rasmi untuk membincangkan hal-hal peribadi atau perkara yang tidak rasmi.
  • Slah satu sebab kesesakan di kaunter ialah kerana petugas di kaunter tersebut diberi tugas yang melibatkan kerja menulis yang banyak dan pengisian serta penilitian borang tertentu. Ini membazirkan masa pelanggan.
  • Tidak menjawab surat daripada pelanggan dengan serta merta akan membanyakkan bilangan surat yang akan dijawab, ini akan membanyakkan bilangan surat yang hendak dijawab kelak, tentu mengambil masa. Ini akan menjadikan pelanggan tertunggu jawapan pihak pegawai tersebut.
  • Ahli-ahli mesyuarat terpaksa membuang masa menunggu mesyuarat bermula disebabkan kelewatan ahli-ahli penting hadir dalam mesyuarat itu.

Semua maklumat diatas dipetik daripada buku tonggak dua belas (the twelve pillars) yang diterbitkan oleh INTAN pada tahun 1992. Buku ini masih menjadi rujukan semua kakitangan kerajaan dalam kursus-kursus. semoga catatan ini dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang memerlukannya.

Disediakan oleh: KUTV PPDHS

11.01.2007 bersamaan 21 Zulhijjah 1427.